1.1 APAKAH
ITU TANAH?
Tanah
mempunyai berbagai-bagai takrifan diantaranya ialah lapisan bumi yang diatas
sekali (Kamus Dewan, 1989) dan lapisan atas bumi dimana tanam-tanaman hidup
(Oxford Dictionary, 1984). Tanah perlu dibezakan mengikut disiplinnya –
contohnya, sama ada tanah yang kita kaji
(soil) atau sebidang tanah (land). Perkataan tanah yang digunakan
di dalam teks ini, adalah merujuk kepada tanah yang kita kaji atau soil.
Sungguh pun begitu kedua-duanya saling berkaitan kerana sebidang tanah (Land) mempunyai tanah yang kita kaji (soil), udara diatasnya dan air.
Tanah
merupakan salah satu sumber semulajadi yang merupakan asas kehidupan. Bidang
kajian tanah dikenali sebagai pedologi
(pedon = tanah), yang mana bidang ini menyiasat bentuk luaran,
cara pembentukan, sebaran dan pengelasan tanah. Kandungan nota ini lebih
menjurus kepada proses-proses dan sifat-sifat tanah yang terdapat dinegara ini;
sebahagian contoh-contoh yang berlaku diluar kawasan tropika tidak dihuraikan
(seperti tanah di gurun atau tundra)
1.1.1
DEFINISI TANAH
Tanah ditakrifkan sebagai bahan
semulajadi yang dinamik terdiri daripada bahan-bahan mineral, organik dan bahan
hidupan yang melitupi sebahagian permukaan bumi dan boleh menyokong
tumbuh-tumbuhan.
Tanah terdiri daripada empat komponen utama iaitu
mineral, bahan organik, air dan udara. Komponen mineral terdiri daripada pasir,
lodak dan lempung. Pengetahuan asas berhubung dengan tanah dan pengurusannya
adalah satu keperluan penting. Tanah adalah nadi kepada kehidupan dimuka bumi.
Kajian mengenai sains tanah bukan sahaja penting kepada ahli pertanian dan petani malah kepada jurutera, ahli ekologi,
ahli alam sekitar dan sebagainya.
1.1.2 DEFINISI PENGURUSAN TANAH
Pengurusan tanah adalah segala usaha yang
dilakukan kepada tanah untuk meningkat atau mengekalkan kesesuaian atau
kesuburan tanah. Antara aktiviti-aktiviti pengurusan tanah adalah membajak,
pembajaan, pengapuran, pengairan, saliran dsb.
1.2. KEPENTINGAN
TANAH DALAM PERTANIAN
Diantara kepentingan tanah
dalam pertanian ialah:-
i) Sebagai media untuk pertumbuhan tanaman
ii) Membekal nutrien kepada tanaman.
iii) Menyokong / memegang tanaman.
iv) Menyimpan dan membekal air kepada tanaman.
v) Menyediakan udara untuk pernafasan tanaman.
1.3
PROSES PEMBENTUKAN TANAH
Secara ringkasnya, tanah terbentuk daripada batu dan
mineral melalui proses luluhawa. Sebarang batuan apabila terdedah kepada
atmosfera buat beberapa waktu akan mengalami luluhawa. Pemecahan batu diikuti
oleh proses pereputan atau penguraian.
Definasi Luluhawa : “ Satu proses semulajadi
yang memecah, menghurai dan menukar batu batan dan mineral kepada unsur-unsur
yang akan menjadi tanah.”
Bergantung kepada agen atau kuasa pemecah yang bertindak
keatas bahan induk, proses luluhawa boleh dibahagikan kepada;
i)
Luluhawa Fizikal
Proses fizikal atau mekanikal yang memecah
batu batan tanpa mengalami perubahan susunan kimia dan tanpa adanya pembentukan
mineral baru. Batuan boleh dipecahkan dan dihancurkan oleh agen-agen iklim
seperti suhu, air dan angin.
Batu akan mengembang dan mengecut mengikut keadaan suhu.
Pengembangan dan pengecutan batuan lama kelamaan memecah batuan dan akhirnya
menjadi batu kecil. Kehadiran air dan angin akan mempercepatkan lagi proses
pemecahan kerana ia mengangkut dan memindahkan serpihan batuan tersebut. Semasa
diangkut / dipindahkan serpihan akan berlanggar dan bergeser diantara satu sama
lain untuk membentuk unit yang lebih halus seperti pasir.
ii)
Luluhawa Kimia
Disamping menukar bentuk fizikal bahan induk, luluhawa
kimia juga menyebabkan perubahan kandungan kimia dan menghasilkan
mineral-mineral baru. Ia melibatkan agen luluhawa yang terdapat dalam tanah
seperti suhu, air dan asid. Kadar tindakbalas kimia meningkat dengan peningkatan
suhu dan juga kelarutan komposisi mineral sesuatu batu.
iii)
Luluhawa Biologi
Luluhawa biologi melibatkan organisma-organisma mikro,
akar tumbuhan yang terdapat didalam bumi. Akar pokok besar apabila ia membesar
dan menjalar boleh meretak dan memecahkan batu. Bahan organik yang sedang
mengalami pereputan atau penguraian juga mengeluarkan asid organik yang akan
memecah dan melarutkan batu-batan.
Secara ringkasnya proses pembentukan tanah
melibatkan 4 perkara berikut:-
1.
Penambahan
bahan-bahan kedalam sistem tanah
2.
Kehilangan
bahan-bahan daripada sistem tanah
3.
Pemindahan
bahan-bahan dalam sistem tanah
4.
Perubahan
bahan-bahan dalam sistem tanah
1.
Penambahan
bahan-bahan ke dalam sistem tanah
Ia melibatkan penambahan
bahan-bahan organik daripada pereputan sisa tumbuhan dan haiwan yang mati. Selain
daripada bahan organik, bahan mineral juga ditambah kedalam sistem tanah
melalui pemendapan, angin dan air.
2.
Kehilangan
bahan-bahan daripada sistem tanah
Ia melibatkan kehilangan bahan-bahan
daripada permukaan tanah oleh hakisan yang disebabkan oleh angin atau air.
Kehilangan juga boleh berlaku melalui larut lesap.
3.
Pemindahan
bahan-bahan dalam sistem tanah
Proses ini terbahagi dua iaitu:-
a) Eluviasi
: Iaitu pergerakan bahan keluar
daripada sesuatu bahagian
tanah
(daripada suatu horizon).
b) Iluviasi : Iaitu
pergerakan bahan masuk ke dalam sesuatu bahagian
tanah/
horizon bahan yang terlibat didalam proses ini ialah mineral lempung, oksida,
hidroksida, larutan garam dan humus.
4.
Perubahan
bahan-bahan dalam sistem tanah
Ia melibatkan pembentukan
bahan-bahan baru samada bahan organik atau mineral daripada bahan asal.
Contoh:
1. Pereputan
(decomposition) bahan organik kepada
humus
2. Pembentukan lempung daripada mineral asal yang terdapat
dalam batuan induk.
Perlu diingat tindakbalas diatas tidak berlaku
berasingan. Dominasi sesuatu proses bergantung kepada faktor-faktor pembentukan
tanah sebagaimana yang akan dibincangkan di bawah.
1.4
FAKTOR PEMBENTUKAN TANAH
|
Pembentukan tanah
disebabkan oleh berbagai proses alam sekitar. Berdasarkan model yang
dibangunkan oleh para pengkaji tanah, faktor-faktor pembentukan tanah boleh
diringkaskan seperti berikut:
Dimana:
S
= Tanah
p
= Bahan induk (bahan asal geologi atau organik)
c
= Iklim (yang utama ialah hujan dan suhu)
o = Organisma
(organisma hidup; tumbuhan asal, mikrob, haiwan tanah
dan manusia)
r =
Topografi (cerun dan kedudukan
lanskap)
t =
Masa (tempoh dimana mulanya bahan
induk terdedah kepada
pembentukan
tanah)
Didalam konteks faktor-faktor ini, tanah adalah merupakan
badan semulajadi yang dinamik, mempunyai sifat-sifat yang dihasilkan dari
himpunan kesan iklim dan aktiviti organisma yang diubah oleh topografi,
bertindakbalas ke atas bahan induk melampaui masa pembentukannya. Perlu diingat
faktor-faktor ini berkaitan antara satu sama lain. (Catatan: Bagi memudahkan
pemahaman faktor-faktor ini akan dihuraian satu per satu, berbanding interaksi
antara faktor).
1.4.1
Bahan Induk
Ia merupakan faktor yang pasif dan menerima tindakan
daripada faktor-faktor lain seperti iklim dan organisma. Kesenangannya
diluluhawakan menentukan berapa cepat tanah terbentuk. Lebih keras keadaan
semulajadi bahan induk itu, maka lebihlah masa yang diambil untuk
memecahkannya. Pada umumnya bahan induk terdiri daripada dua kumpulan besar
iatu:-
a) Bahan induk
organik
Ia terdiri daripada himpunan tumbuh-tumbuhan dikawasan
terendam air. Keadaan ini berlaku disebabkan kenaikan paras laut dimasa lampau
menyebabkan bahan tumbuhan mengalami pereputan tak lengkap (keadaan anaerobik).
Ia terdapat juga ditanah tinggi melebihi 1000 mapl, disebabkan suhu yang
rendah walaupun tidak terendam air
tetapi melibatkan kawasan yang tidak luas.
b) Bahan
Induk batuan
Pembentukan tanah berlaku setempat hasil luluhawa keatas
batu asal dan mineral. Sifat tanah yang terhasil berkait rapat dengan sifat
batu dan mineral asalnya. Terdapat tiga (3) kumpulan batu-batuan ialah: i) Batu
igneus ii) Batu Sedimen dan iii) Batu Jelmaan
i)
Batu Igneus (Igneous Rock)
Batu Igneus adalah batuan yang
terhasil dari aktiviti kerak bumi yang menolak magma yang cair keluar dan mengeras
apabila sejuk lalu membentuk batu. Contoh batuan igneus adalah Granit, Basalt
dan Andesit. Biasanya tanah yang terbentuk daripada batuan ini akan bersifat
kasar dan berpasir, mempunyai kandungan bes yang rendah dan kurang subur.
ii)
Batu Mendakan (Sedimentary rock)
Batuan
ini berasal daripada mendakan yang dibawa oleh sungai, laut, angin dan juga
daripada tinggalan-tinggalan hidupan yang terhimpun berjuta-juta tahun dahulu.
Mendakan terkumpul sebagai lapisan yang berlapis-lapis. Akibat tekanan yang
dihasilkan oleh lapisan atas yang baru dan bila sampai masanya lapisan-lapisan
tadi akan menjadi keras untuk membentuk batu yang pejal dan berlapis-lapis.
Contoh batuan mendakan adalah Batu
kapur (lime stone), batu lumpur (mud stone), Batu pasir (sand stone) dan Syal (shale). Tanah yang terbentuk daripada
batuan mendakan biasanya mempunyai tetalan halus, kurang berpasir, kandungan
bes tinggi dan lebih subur.
iii)
Batu Jelmaan (Metamorphic Rock)
Batuan
ini berasal daripada batuan igneus, batuan mendakan atau lain-lain batu jelmaan
yang telah berubah sifat akibat kesan tekanan dan suhu yang tinggi. Batu-batu
ini boleh mewarisi sifat batu asalnya atau bersifat baru (tidak menunjukkan
sifat batu asalnya).
Contoh:
Granit ® Amfibolait, Gneiss
Batu
kapur ® Batu Marmar(marble)
Shal
® Slet (slate)
Batu
pasir ® Kuartzait
1.4.2
Iklim
Dua faktor iklim yang penting dalam proses pembentukan
tanah ialah suhu dan hujan.
a)
Suhu
Suhu mempengaruhi :-
i)
Jenis tumbuhan yang
terdapat pada satu-satu kawasan.
ii)
Tindakbalas kimia.
Suhu yang tinggi mengakibatkan pereputan dan penguraian bahan organik yang
cepat.
b)
Hujan
Kesan hujan secara langsung :-
i)
Membekal air untuk
tindakbalas kimia ke atas batu-batan.
ii)
Menghakis tanah
menyebabkan profil tanah lambat terbentuk atau menjadi cangkat/cetek.
iii)
Air hujan akan
meresap (perkolasi) melalui ruang tanah dan melarut lesapkan beberapa mineral
di lapisan atas.
Kesan hujan secara tidak langsung :
i)
Dikawasan yang mengalammi
hujan yang tinggi atau lebat tanah mengalami larut lesap yang tinggi dan
eluviasi yang kuat menyebabkan tanah berwarna cerah dan berlaku kekurangan zat
makanan.
ii)
Hujan juga
mempengaruhi jenis dan populasi tumbuhan. Contohnya pokok hutan hujan tropika
berbeza dengan pokok hutan mediteranean.
iii)
Dikawasan padang
pasir / kawasan arid hujan terlalu rendah, berlaku pengumpulan garam
dipermukaan tanah dan kekuranga air. Umumnya kadar pertumbuhan pokok perlahan
dan kurang terdapat pokok bersaiz besar.
1.4.3
Organisma
Secara ringkasnya, organisma boleh dibahagikan kepada 3
kumpulan iaitu: i) tumbuhan (flora);
ii) makrofauna dan iii) mikro organisma.
a.
Tumbuhan
Akar tumbuhan akan memecah batu-batan ketika mencari makanan. Proses ini
berterusan sehingga batu menjadi tanah dengan bantuan agen luluhawa lain
seperti asid organik dan air. Tumbuhan yang mati akan menjadi sumber bahan
organik. Penguraian bahan organik menghasilkan
asid-asid organik yang mana akan mempercepatkan proses pemecahan batu-batan
untuk membentuk tanah.
Jenis tumbuhan, banyaknya kandungan bahan organik yang
dapat dibekalkan oleh tumbuhan dan kadar penguraian bahan organik juga mempengaruhi proses kejadian tanah dan pembentukan profailnya.
Sebab itu tanah dikawasan hutan hujan tropika tidak serupa dengan kawasan arid
atau kawasan rumput.
b. Makrofauna
Binatang kecil hidup didalam ruang rongga tanah manakala
lain-lain binatang besar menghuni lubang-lubang didalam tanah. Diantara
sumbangannya adalah memecah bahan organik kepada cebisan yang lebih kecil,
memakan bahan organik dan mencampurkan tanah dan humus. Binatang-binatang ini
diantaranya antropoda, cacing tanah, siput, anai-anai dan lain-lain lagi.
c.
Mikro-organisma
Termasuklah virus, bakteria, aktinomisit, protozoa, fungi
dan alga. Sebagai contoh, bakteria memberi sumbangan diantaranya:-
i) Mengurangkan oksigen tanah menyebabkan
keadaan jadi anaerobik (Keadaan Penurunan).
ii) Menguraikan bahan organik dan menghasilkan
humus.
iii) Mengikat nitrogen (Rhizobacter) dari udara.
1.4.4
Topografi
Topografi menerangkan keadaan permukaan bumi
dari segi ketinggian, kecerunan dan juga kedudukan landskapnya.
Dua (2) aspek
topografi yang penting yang mempengaruhi pembentukan tanah ialah:-
a)
Kecerunan (slope)
Pada amnya tanah yang terbentuk dikawasan curam mempunyai
profil yang cetek / nipis kerana:
i)
Kejadian hakisan lebih ketara dikawasan curam dan
menyebabkan tanah hilang sebaik sahaja ia terbentuk.
ii)
Kurang terdapat tumbuh-tumbuhan di kawasan tanah curam
terutama dikawasan yang kurang menerima hujan / arid.
Walau bagaimana pun tanah yang terbentuk dikaki bukit
selalunya lebih dalam kerana berlakunya pengumpulan bahan terluluhawa atau
tanah yang dibawa oleh air hujan akibat hakisan.
b)
Ketinggian (elevation)
Peningkatan ketinggian menyebabkan suhu rendah dan jumlah
hujan yang tinggi. Perubahan iklim ini akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan yang
berbeza – berbeza dan menghasilkan pembentukan tanah yang berlainan jenis mengikut
ketinggian.
Kawasan yang tinggi adalah lebih sejuk, berawan, kurang
berlaku evepotranspirasi dan lebih lembab. Disamping itu, kandungan oksigen
yang rendah pada kedudukan tinggi menyebabkan kadar pereputan tumbuhan lambat
dan menggalakan pembentukan horizon yang tebal.
Dikawasan lembah atau paras air yang tinggi dan saliran yang
jelik menyebabkan tahap pengoksidanan dan aktiviti hidupan seni menjadi kurang.
Ini mengakibatkan proses penguraian bahan organik menjadi lambat. Jika keadaan
ini berterusan dan bahan organik tidak dapat huraikan, banyak bahan-bahan
organik akan terhimpun dan akhirnya akan membentuk tanah gambut.
1.4.5 Masa
Proses kejadian tanah memakan masa yang sangat lama dan
ia melibatkan tindakan yang berterusan
iklim dan mikroorganisma keatas bahan induk dan tumbuhan. Dianggarkan
untuk mendapat satu profail tanah biasa yang mengandungi lapisan-lapisan yang
boleh dikenalpasti mengambil masa sekurang-kurangnya 200 tahun.
Semakin lama masa diambil, semakin banyak tanah
terluluhawa dan perkembangan profilnya akan bertambah jelas. Sifat-sifat tanah
boleh ditentukan oleh lamanya masa yang diambil. Sifat tanah juga boleh berubah
mengikut masa. Masa yang diambil untuk membentuk horizon tanah bergantung
kepada bahan induk, iklim dan mikroorganisma.
1.5
PROFIL TANAH
1.5.1 Pengenalan
Profail Tanah
Profil tanah adalah
sebahagian tanah yang dibeza-bezakan kepada beberapa horizon yang mempunyai
sifat-sifat yang tertentu.
Horizon tanah adalah satu lapisan yang dapat dilihat diprofil tanah
yang terbentuk hampir selari dengan permukaan tanah dan mempunyai keseragaman
sifat-sifat fizikal, kimia dan biologinya.
Lubang pemeriksaan
tanah (soil pit) adalah satu lubang
besar biasanya berukuran 2 meter panjang, 1.5 – 2 meter lebar dan dalam yang
digali oleh para pengkaji tanah untuk mengkaji horizon-horizon tanah.
Keratan jalan atau lain-lain bentuk penggalian tanah
boleh juga dijadikan rujukan untuk melihat profil tanah. Profile tanah boleh
juga dikaji menerusi korekan menggunakan gerudi tanah (soil auger) jika tiada
lubang pemeriksaan, keratan jalan dan lain-lain bentuk penggalian di kawasan
yang hendak dikaji.